Selasa, 07 April 2015

TARBIAH DAN SHALAWAT

Berkata ulama tarbiah :
"Kalau bukan murobbi, nescaya aku tak dapat kenal Rob-ku"

"Jalan-jalan menuju Allah adalah sebanyak hembusan nafas seluruh makhluk "

Setiap daripada kita berhajat kepada guru murobbi yang boleh membimbing kita ke jalan akhirat yang dengannya kita dapat mengenal Allah.

Al Habib Kadzim as Saqqaf ditanya muridnya, pada zaman sekarang ketika mana guru murobbi amat sukar didapati dan didampingi, bagaimana harus kami lakukan?

Beliau menjawab " Perbanyakkanlah sholawat, Nabi Muhammad saw sendiri akan jadi pembimbingmu ".

Kenyataan ini tidak bertentangan kenyataan al Quran dan Sunnah kerana Nabi saw bersabda : "Barang siapa berselawat keatasku sekali, nescaya Allah berselawat ke atasnya 10 kali"

Satu kali selawat dari Allah lebih hebat dari seluruh ibadat semua makhluknya dilangit dan dibumi, bagaimana dengan 10 kali selawat dari Robbul Alameen ?

Al-Quran menjelaskan : "Dialah (Allah) yang berselawat keatas kamu dan malaikatnya agar Dia mengeluarkan kamu dari zulumat (kegelapan) kepada nur cahaya" (al Ahzab:43)

Bermakna setiap kali selawat, mengeluarkannya 10 kali dari kegelapan kepada cahaya.

Semakin melimpah nur cahaya pada jiwanya, semakin bersih hatinya sehingga terbuka hijab dirinya dengan Allah. Justru semakin kenal dia akan hakikat dirinya, semakin kenal dia pada Tuhannya.

Dengan keberkatan sholawat, kita akan dapat pemeliharaan Allah dari kesesatan dan mendapat bimbingan melalui cahaya yang diperolehi.

Perbanyakkanlah selawat keatas Nabi wahai saudaraku, cintai sunnahnya, dengannya kamu akan memiliki cahaya yang membuka pintu ketauhidan ihsan dan menanggalkan kotoran syirik pada batinmu.